SYARIAH Islamiah ialah syariah yang lengkap dan sempurna, hukum-hakamnya sesuai dengan semua keadaan. Bagi umat Islam terdapat pelbagai aliran mazhab fiqh yang muktabar, ada yang menyenaraikan sebanyak 13 mazhab, namun empat mazhab yang tersebar luas dan mempunyai ramai pengikut di seluruh dunia, dan menjadi pendapat yang dipegang dan diamalkan masyarakat umum iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Syafie, dan Hanbali.
Keempat-empat mazhab ini mempunyai peraturan, kaedah dan panduan yang sempurna lagi lengkap, ditulis oleh ulama mereka dalam kitab masing-masing. Ia menjadi bahan tidak ternilai dalam perbendaharaan perundangan Islam.
Walaupun daripada pandangan luar dilihat seolah-olah kita umat Islam berpecah-pecah. Namun, jika tidak difahami dengan baik dan hati yang terbuka, kepelbagaian mazhab ini boleh menimbulkan masalah perpecahan dalam kalangan umat Islam. Bagi mengelakkan keadaan ini, umat Islam perlu memahami fiqh perbezaan pendapat dan menghayati prinsipnya dengan jalan yang benar.
Hakikatnya perbezaan pendapat antara imam mazhab bukanlah sesuatu yang besar. Perbezaan mereka tidak lain hanyalah kepada perkara-perkara kecil dan cabang yang berkisar perihal perkara-perkara furu’ (cabang) dan bukannya perkara-perkara usul (asas) keislaman.
Perbezaan dan Perselisihan
Perbezaan furu’ dan bukan usul sebagaimana yang dinyatakan di atas diumpamakan oleh Abu Al-Fath Al-Bayanuni sebagai: "Satu jenis buah-buahan yang berasal dari sebatang pohon pokok; bukannya berjenis-jenis buah yang berasal dari berlainan pohon pokok.
"Batang pohon yang satu adalah kitab ALLAH SWT dan sunnah sementara ranting-rantingnya adalah dalil-dalil syarak dan cara berfikir yang berjenis-jenis; manakala hasil buahnya pula adalah hukum fiqh yang sekian banyak dan bermacam-macam itu."
Bahkan, kewujudan pelbagai mazhab dalam Islam adalah satu rahmat dan kekuatan yang ada pada ajaran agama. Kepelbagaian mazhab membolehkan syariah Islam dilaksanakan oleh manusia pada semua tempat dan waktu yang berbeza mengikut kesesuaian masing-masing.
Maka sewajarnya kita menghormati dan menerima secara terbuka, serta berlapang dada terhadap pandangan dan pendapat mazhab yang lain. Hendaklah bersangka baik dengan pihak yang berbeza pendapat dalam masalah furu’ serta menjauhi sikap berburuk sangka.
Juga jangan sesekali menyalahkan antara satu sama lain kerana hakikatnya dalam masalah furu’ ini tidak ada satu pihak yang benar-benar memegang kebenaran. Kebenaran mungkin berada pada semua pihak yang berbeza pandangan tersebut. Dengan itu mereka semua berada pada pihak yang benar.
Perkara ini dapat kita saksikan dalam satu peristiwa daripada sebuah hadis Rasulullah SAW: "Rasulullah pernah memerintahkan sahabatnya yang akan pergi ke perkampungan Bani Quraizah supaya tidak bersolat Asar, kecuali setelah sampai di perkampungan tersebut. Namun waktu Asar telah tiba semasa mereka masih lagi dalam perjalanan.
Lalu ada sahabat yang bersolat dan ada yang menangguhkan sehingga sampai ke perkampungan tersebut. Apabila perkara ini diceritakan kepada Rasulullah SAW, Baginda SAW tidak mengecam atau memarahi perbuatan kedua-dua golongan sahabat tersebut." (Riwayat Bukhari & Muslim)
Perselisihan pendapat golongan ulama pada masalah cabang juga adalah rahmat ALLAH terhadap hamba-Nya. Oleh kerana ada perbezaan maka mudah bagi hamba ALLAH untuk melakukan amal ibadat.
Sebagai contoh; Dalam masalah wuduk bagi mereka yang hendak tawaf, mengikut Mazhab Syafie batal wuduk dengan sebab bersentuh perempuan yang bukan mahram, hatta isteri sendiri pun.
Maka dengan realiti keadaan yang kita maklumi di dalam Masjid Haram, terutamanya ketika bersesak-sesak tawaf, bagi yang bermazhab Syafie amatlah sukar dan mungkin mustahil untuk menjaga wuduk, maka di haruskan bagi kita bertaklid (mengikut pendapat) mazhab yang mengatakan tidak batal wuduk dengan sebab bersentuh perempuan yang halal nikah.
Tetapi apabila seseorang itu hendak bertaklid dia hendaklah mengikut syarat-syarat bertaklid. Ini harus dibincangkan dalam babnya yang khas.
Walaupun umat Islam pada hari ini secara umumnya berpegang dan terdiri daripada mazhab yang berbeza, namun mereka perlulah mencontohi sikap yang diamalkan oleh setiap imam mazhab. Mereka ini bekerjasama dalam perkara yang disepakati dan bertolak ansur dalam perkara yang tidak dipersetujui.
Contohi Akhlak Mulia
Lihat beberapa contoh akhlak mulia dan peribadi unggul imam ini dalam menerima dan menghormati perbezaan dengan mazhab lain.
Khalifah Abu Ja'far Al-Mansur telah mencadangkan kepada Imam Darul Hijrah, Malik bin Anas RHM supaya menyebarkan kitabnya, Al-Muwatta' ke seluruh pelosok dunia dan agar menjadikannya pegangan bagi setiap orang (yakni tidak boleh menerima pandangan lain lagi).
Imam Malik menjawab: "Wahai Khalifah, janganlah tuan melakukan sedemikian, kerana orang ramai telah pun menerima pandangan-pandangan lain yang berbeza daripada sahabat dan ulama lain, mereka juga telah mendengar hadis-hadis dan meriwayatkannya."
Bagi setiap kaum ada pandangan-pandangan ulama yang sampai kepada mereka serta telah lama beramal dengannya. Mereka juga telah memahami perkara khilaf, maka untuk memaksa mereka meninggalkan pegangan mereka (kepada Muwatta') adalah sesuatu yang berat dan sukar. Oleh itu biarkanlah manusia dengan ilmu yang mereka terima, dan setiap negara itu masing-masing telah memilih amalan untuk diri mereka." (Ibnu Saad, Tabaqaat al-Kubra: 1/440)
Ini menunjukkan betapa kefahaman dan ketinggian ilmu Imam Malik serta ketakwaannya. Kerana ramai dalam kalangan golongan yang berbeza pandangan, pada mana-mana zaman, sekiranya mereka mampu untuk mempengaruhi mana-mana pemerintah, pastilah mereka menggunakannya untuk mengalahkan orang yang berbeza pandangan dengan mereka!.
Berdasarkan kepada realiti, semua ini memang terjadi dan sejarah umat ini telah banyak membuktikannya. Terdapat kalangan pengikut mazhab tertentu yang telah mempengaruhi pemerintah untuk mengalahkan seteru mereka, sama ada dengan melucutkan jawatan atau menyakiti ulama lain. Maka dalam hal ini, tidak boleh kita mencerca orang lain, janganlah setiap orang mengaku mereka adalah golongan yang benar.
Namun jika kita yakin pegangan kita adalah betul, bertepatan dengan al-Quran dan Sunnah, maka wajiblah kita berdakwah dan menyebarkannya, tetapi hendaklah mengikuti akhlak dan adab berkhilaf, jangan sampai mencerca.
Jauhi cercaan
Peliknya, ramai kalangan manusia yang sangat warak dan sangat menjaga daripada memakan makanan haram, meminum arak atau menonton filem-filem lucah, tetapi amat susah untuk menjaga lidahnya daripada bercakap dan mencerca kehormatan orang lain. Kamu akan dapati mereka dengan sewenang-wenangnya menghina, menuduh dan mencerca ulama lain yang tidak sealiran dengan mereka, tidak kira sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia, tanpa memikirkan kesan dan dosa akibat daripada perkataan mereka itu. Boleh jadi orang yang mereka cerca itu telah lama berada di dalam syurga!
Bersikap sederhana
Setiap mazhab yang berbeza pandangan dalam perkara tertentu mempunyai persamaan dalam banyak perkara yang lain. Oleh itu, kita mestilah menumpukan perhatian kepada usaha melaksanakan apa yang dipersetujui bersama bukan kepada perbezaan antara mazhab.
Kita juga tidak boleh melampau dalam sesuatu pandangan yang dipegang. Syariat Islam ialah agama yang sangat menganjurkan kesederhanaan. Ini termasuklah juga dalam perkara yang berkaitan dengan mazhab. Pegangan terhadap sesuatu mazhab hendaklah secara sederhana dengan menerima kemungkinan adanya kesilapan pada pihak diri sendiri dan adanya kebenaran pada pihak orang lain.
Kepelbagaian mazhab adalah satu rahmat dan anugerah ALLAH kepada umat Islam. Mereka tidak wajib terikat dengan sesuatu pandangan sahaja dalam hidup. Ini memudahkan umat Islam untuk menjalani kehidupan yang berbeza mengikut perbezaan tempat dan waktu dan menghadapi cabaran hidup dengan penuh hikmah dan bijaksana.
Dengan itu perbezaan mazhab bukanlah sesuatu yang patut menjadi asas kepada perpecahan dan perbalahan sesama umat Islam, bahkan satu anugerah dan rahmat daripada ALLAH yang harus disyukuri dan menjadi asas perpaduan.
kredit sinar harian


EmoticonEmoticon